Menghadapi Cabaran yang datang bertubi-tubi.

 

Semakin hari semakin galak serangan pihak UMNO  dan kuncu-kuncunya terhadap terhadap Barisan Alternatif  dan PAS khususnya..

 

Bukan sahaja media massa elektronik dan cetak digunakan dari pagi ke lewat malam, badan-badan kerajaan juga digunakan untuk menghentam dan menyerang BA dari segala sudut.

 

Tak cukup dengan membuat fitnah dan tuduhan-tuduhan yang setengah-tengahnya amat keterlaluan, kuasa digunakan untuk mensabotage perkembangan dan kemajuan PAS, seperti merampas wang royalti petroleum negeri Terengganu dan menghentikan atau melewatkan pembayaran grant wajib kepada negeri Kelantan dan Terengganu. Penubuhan JKKK  dan PPM  menodai kuasa yang diberikan kepada negeri, semata-mata kerana hasad dan dengki dan keranna kepentingan politik kepartian yang amat jijik.

 

Apa yang ada pada BA dan PAS untuk boleh aktif dalam arena politik di Malaysia ini? Kebenaran untuk membuat ceramah umum  yang dulunya agak mudah diperolehi tanpa banyak kerenah, kini dipersempitkan dan dipersusahkan! Permit menerbitkan Harakah yang dulunya 2 kali seminggu, dan telah mendapat sambutan yang hangat dari masyarakat, kini hanya boleh diterbitkan 2 minggu sekali!

 

Hak untuk berdemonstrasi secara aman, memang sudah tidak ada lagi bagi BA! Bahkan baru hendak buat, sudah dicekup di bawah ISA yang zalim itu! Kononnya, ia mengancam ketenteraman negara.

 

Permit untuk menerbitkan akhbar harian Purnama yang telah dipohon hampir setahun lalu, nampaknya sudah dipetisejukkan! Ia dikuburkan tanpa diberi peluang langsung untuk melihat dunia!  Permohonan membuat stesen radio oleh negeri Kelantan ditolak! Peluang untuk pihak BA meyuarakan pendapat di radio dan TV, tidak ada langsung. Sebaliknya radio dan TV digunakan sesuka hati dan bila-bila masa sahaja oleh pihak UMNO-BN sebagai alat propaganda mereka!

 

Itu memang kerja UMNO-BN! Kita sudah maklum, dan kita tidak terperanjat lagi! Biarlah mereka buat kerja itu! Kita yakin segala kerja jahat, pasti tidak diredhai oleh Allah. Juga  kita sedar kerja jahat, mungkin pada peringkat awalnya memang menyusahkan kita. Tetapi percayalah, hakikatnya bagi orang-orang yang beriman dan sabar, ia adalah suatu ujian dan tarbiyah secara tidak langsung yang Allah kurniakan kepada kita. Segala kerja jahat mereka sebenarnya lagi akan mengukuhkan iman dan iltizam kita kepada perjuangan menegakkan yang hak, dan menumbangkan kemungkaran! 

 

Percayalah, kerja-kerja jahat mereka akan memakan diri mereka sendiri akhirnya. Semakin banyak dan besar kezaliman mereka terhadap rakyat dan perjuangan Islam, semakin jauh mereka dari Allah SWT. Akan sampai suatu masa, di mana kezaliman mereka seperti barah yang sedang membesar, akan pecah  dan  darah dan nanah bayu yang meloyakan, bau  busuk yang memuntahkan, dan dengan kesakitan yang tidak tertanggung! Topeng yang kini menutup kejahatan dan kezaliman mereka akan terbuka, wajah mereka yang sangat hodoh, menjijikkan dan menakutkan akan terserlah! Pada masa itu, kawan-kawan dan saudara mara pun akan cabut lari, dan setengahnya akan menjadi musuh yang sangat kejam!

 

Percayalah tidak akan ada kebaikan daripada kejahatan, melainkan bagi orang-orang yang beriman dan sabar. Percayalah amalan rasuah, kronisme, nepotisme, salah guna kuasa, bailout  daan sebagainya, lambat laun akan meranapkan ekonomi negara kita. Wa na’uzubillahi min zaaliq.

Apabila ia berlaku, semua akan kena padahnya. Walaupun, nasi sudah menjadi bubur, tetapi rakyat akan mula buka mata, akan sedar betapa, apa yang dicakapkan sekarang hanya suatu pembohongan untuk menutup kepincangan mereka! Baru rakyat sedar, bahawa yang diperingatkan oleh pihak BA adalah benar dan suatu kenyataan!

 

Dalam menghadapi cabaran ini sekarang, apa yang harus kita buat, agar apabila sampai masanya nanti, maka kitalah yang menjadi pilihan rakyat?

 

Banyak perkara yang boleh kita buat, tetapi di sini dinyatakan hanya beberapa perkara asas  yang tidak boleh tidak mesti setiap ahli PAS khususnya dan BA amnya lakukan, jika mahu menjadi pilihan rakyat!

 

Pertama, ikhlaskan hati dalam perjuangan, iaitu bukan untuk kepentingan diri atau yang lain, tetapi untuk Allah SWT.  Apabila kita mengikhlaskan perjuangan kita untuk Allah SWT  bermakna kita kena buat kerja “yang betul, dengan cara yang betul, betul-betul!”. Kita tidak boleh buat yang tidak betul, dengan cara dan teknik yang tidak betul, dan secara cincai-cincai sahaja!

 

Untuk itu, kita kena didik diri kita supaya menjadi seorang insan contoh dan menjadi ikutan. Ikut kursus supaya kita dapat menjadi ahli yang tahu dan cekap membuat kerja. Ikut latihan supaya dapat meningkatkan kemahiran dan keupayaan kita dan berketrampilan dalam melaksanakan tugas yang diberikan. IKut program usrah agar perhubungan sesame kita akan menjadi lebih mantap berasaskan kasih saying yang sejati. Pendek kata, kita mesti menjadikan diri kita orang yang berilmu, beramal  dan berketrampilan.

 

Kedua, kita kena jalankan usaha dakwah dan penerangan di mana sahaja kita berada dengan cara yang sesuai dengan sasaran dan keadaan. Kita kena buat ceramah samada kecil atau besar. Kita kena adakan forum, seminar, majlis dialog dan sebagainya. Kita juga kena ziarah saudara mara  dan kawan-kawana kita untuk menyampaikan mesej perjuangan kita tanpa jemu-jemu. Kita kena sampaikan mesej kita dengan menulis dan mengedarkan risalah-risalah kepada orang ramai. Kita boleh juga edarkan keset dan VCD kepada sasaran tertentu. Yang pentingnya kerja dakwah dan penerangan mesti dijalankan tanpa jemu dan mendekati masyarakat sekerap dan seramai mungkin.

 

Dengan teknik yang berkesan, hati yang bersih yang penuh kasih sayang, insya-Allah, sedikit demi sedikit mesej kita akan meresap ke dalam otak dan hati masyarakat. Jika sekarang mereka menentang kita, akan datang mungkin akan menjadi penyokong atau pendokong perjuangan yang gigih bersama kita! Percayalah, apabila telah datang yang hak, yang batil pasti akan roboh! Hanya orang yang benar-benar gila, orang gila dunia, orang bebal lagi degil, orang sombong dan berkepentingan sahaja akan kekal dalam UMNO-BN, jika mesej kita benar-benar telah sampai kepada mereka dengan cara yang meyakinkan.

 

Ketiga, berusaha bersungguh-sungguh menguatkan parti kita, iaitu dengan kita meramaikan bilangan ahli, membanyakkan cawangan-cawangan,  meningkatkan kualiti kepimpinan yang boleh merancang dan melaksanakan strategi dengan berkesan, melicinkan dan meningkatkan kecekapan pentadbiran dan pengurusan parti, dan antara yang terpenting mengukuhkan kewangan parti.

 

Semua ini, memerlukan kepada kesungguhan dalam bekerja, ilmu dan kepakaran, dan pengorbanan harta dan wang ringgit, masa dan tenaga yang semaksima dan berteruan. Tidak boleh kita lakukan semua ini, jika kita masih cintakan dunia lebih daripada kita cintakan akhirat. Tidak boleh kita lakukan ini, jika kita tidak mempunyai kekuatan iman melalui amalan ibadah khususiyah secara istiqamah. Tidak boleh kita lakukan ini, jika kita tidak melaksanakan tugas parti secara jama’ie, iaitu dengan mengharapkan dua tiga orang sahaja membuat kerja, yang lain buat tak kisah!

 

Mengukuhkan parti, juga bererti taat kepada arahan kepimpinan. Jika ahli tidak taat kepada kepimpinan, segala program yang macam mana baikpun tidak akan dapat dilaksanakan dengan berjaya! Ingat, mentaati kepimpinan atas kerja parti, adalah wajib; mengingkarinya adalah haram!

 

Jangan sekali-kali membuat sesuatu yang boleh mencemari nama baik parti seperti bergaduh sesama sendiri, atau berakhlak buruk dan melakukan maksiat seperti berjudi, dedah aurat, berfoya-foya dengan bukan muhrim dan sebagainya. Semua ini akan melemahkan parti kita. Bukan sahaja pihak UMNO-BN akan menggunakan isu ini untuk membelasah kita, tetapi juga angkara di atas mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Ini boleh melambatkan kemenangan kita, disebabkan kita juga sama seperti UMNO-BN dari segi melakukan maksiat.

 

Akhir kata, pihak kepimpinan pusat mesti, berusaha bersungguh-sungguh dan berterusan dengan berbagai-bagai cara dari sekarang untuk memastikan pilihanraya yang akan dihadapai nanti adil kepada semua pihak. Kaji semua perlembagaan, undang-undang dan peraturan pilihanraya dari semua aspek, dan kemudian buat memorendum yang jelas dan mudah difahami rakyat jelata. Akhirnya serahkan kepada yang berkenaan untuk diambil tindakan sewajarnya dalam tempoh tertentu. Jika tidak ada apa-apa tindakan dari pihak berkenaan, desak lagi! Jika masih tidak diambil endah. Desak dengan lebih keras lagi. Menuntut yang hak bagi kita, tidak salah. Membiarkan hak kita dicabuli itu dayus!  Yang penting, tuntutan dan desakan mesti dibuat, dan tindakan kita mesti selaras dengan tindakan pihak berkenaan!  Jika kerajaan mahu demokrasi hidup di Malaysia ini dan pilihanraya menjadi cara menukar kerajaan, maka keadilan dan kesaksamaan mesti diberikan kepada semua yang terlibat dalam pilihanraya! Jika keadilan dan kesaksamaan tidak diberikan kepada kita, mengapa kita harus menyertai pilihanraya lagi?  Bukan melalui pilihanraya sahaja, sesebuah kerajaan boleh ditukar oleh rakyat! Tak begitu?

 

Selamat berjuang!

 

Ayah Aji